Khamis, 28 Mac 2013

IDEALISME DAN FALSAFAH


IDEALISME


Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, idealisme bermaksud sifat melihat atau mencita-citakan sesuatu dalam bentuk yang ideal (2010: 558). Menurut W.F Hocking pula, idealisme merupakan realiti yang terdiri daripada idea-idea, fikiran-fikiran, akal (mind) atau jiwa (selves) dan bukanlah kekuatan atau kebendaan. Berdasarkan pendefinisian tersebut, jelas menunjukkan bahawa idealisme memerlukan daya imaginasi yang tinggi dan kreatif untuk menghasilkan sesuatu bentuk karya sastera. Sesebuah karya sastera, terutamanya karya agung pasti memiliki ciri pemikiran tertentu yang juga disebut sebagai idealisme. Seterusnya, idealisme yang akan dibincangkan dalam karya agung Melayu adalah idealisme karya yang bersumberkan alam. Perbincangan berdasarkan idealisme yang bersumberkan alam ini dapat dikategorikan kepada beberapa pecahan, misalnya berkaitan tumbuh-tumbuhan, haiwan, angkasa, sosialisasi dan sebagainya.

FALSAFAH

Bagi maksud falsafah pula, ia dimaksudkan sebagai pengetahuan tentang pengertian yang dianggap sebagai ilmu yang tertinggi yang menjadi dasar kepada ilmu-ilmu yang lain (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010: 406). Ilmu yang dimaksudkan tersebut adalah pengetahuan yang amat luas kepada sesuatu bentuk hakikat yang mendasari kepada semua ilmu berkaitan dengan hal tersebut. Bagi Hashim Hj. Musa pula, falsafah disifatkan oleh beliau sebagai kajian secara renungan dan spekulatif terhadap punca, keadaan dan sifat seluruh pengetahuan manusia yang menjadi sari pati bagi seluruh bidang pengetahuan manusia. Pentakrifan yang dibuat oleh tokoh Melayu ini masih lagi berkisar mengenai cakupan keseluruhan ilmu dan bidang tentang pengetahuan manusia.

FALSAFAH BERSUMBERKAN MELAYU

Kehidupan dalam masyarakat Melayu adalah berasaskan kepada disiplin dan peraturan dan ia membuatkan penulis dalam kalangan masyarakat Melayu menerapkan unsur berkenaan dalam karya agung mereka. Konsep budi terbahagi kepada lima iaitu budi bahasa, budi pekerti, budi bicara, hati budi dan akal budi. (Mohd Rashid Mohd Idris, 2011: 63).

SUMBER:

Mohd Rashid Md Idris (2012). Teori Falsafah Bahasa (Teori Rashid). Perak: Universiti Pendidikan Sultan Idris

Khamis, 14 Mac 2013

5 CONTOH KARYA AGUNG


BUSTAN AL-KATIBIN


Sebuah karya yang paling awal tentang bahasa Melayu yang disusun oleh seorang ilmuwan dan budayawan Melayu ulung, Raja Ali Haji. Kitab ini selesai dikarang pada 15 September 1850. Raja Ali Haji menekankan bahawa perkara paling utama yang terkandung di dalamnya kerana bahasa padanya ialah alat dalam sistem pemikiran yang digunakan secara kreatif oleh manusia untuk mencapai ilmu yang benar tentang alam ciptaan Allah. Dengan mengikuti adab dan syarat menuntut ilmu, pembelajaran bahasa Melayu mampu melahirkan penutur yang bukan sahaja fasih bercakap tetapi juga bercakap dengan budi bahasa dan adab sopan yang mutlak dengan ilmu yang sahih dan benar.

CERITA LIPUR LARA

Lima buah cerita lipur lara yang dimuatkan dalam buku ini adalah cerita lisan yang dirakamkan oleh pegawai-pegawai Inggeris seawall tahun 1886 bertujuan mendalami ilmu tentang orang Melayu. Cerita-cerita yang  dipersembahkan oleh penglipur lara dengan iringan gesekan rebab dan ketukan belanga atau batil begitu berpengaruh dan bersemarak dalam masyarakat Melayu sehinggalah sampai ke penghujung abad ke-20.

HIKAYAT ACHEH


Dihasilkan pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda Aceh (1606-1636) sewaktu berlakunya pertumbuhan fikrah dan wacana ilmu yang pesat dalam sejarah dan kesusasteraan Melayu. Aceh merupakan pusat tamadun Melayu-Islam yang besar dan kuat selepas kejatuhan Melaka pada tahun 1511. Dalam hikayat ini, pembaca dapat melihat sejarah kebesaran kerajaan Melayu-Islam Aceh pada zaman itu, perhubungannya dengan dunia luar, khususnya dengan negeri-negeri dari dunia Asia-Barat, pertembungannya dengan kuasa-kuasa luar dari Eropah (Portugis dan Belanda). Karya ini dikarang dalam bahasa Melayu bukan dalam bahasa Aceh atau bahasa Arab. Hal ini membuktikan bahawa bahasa Melayu menguasai rantau ini dalam pertumbuhan kegiatan penulisan dan pemikiran yang luar biasa hasil tamadun yang tinggi.



HIKAYAT RAJA PASAI


Kemungkinan dikarang dalam jangka masa dari tahun 1211-1400. Mencakupi suatu zaman dalam sejarah Pasai, Sumatera Utara. Di situ agama Islam mula-mula bertapak pada abad ke-13. Walaupun hikayat ini mengandungi unsur-unsur bersifat mitos setempat tetapi terdapat juga yang didasarkan kepada fakta sejarah yang dibuktikan dengan penemuan nisan Malikul Salih (nama yang diberikan kepada Merah Silau sesudah memeluk Islam. Karya ini memaparkan kisah kelahiran dan kejatuhan sebuah kerajaan Melayu yang dapat dijadikan pengajaran untuk generasi akan datang.


CERITA JENAKA MELAYU

Dalam edisi karya agung ini, termuat sebelas buah cerita jenaka Melayu, iaitu Hikayat Sang Kancil, Pelanduk dengan Anak Memerang, Pak Kaduk, Lebai Malang, Pak Pandir, Pak Belalang, Si Luncai, Mat Jenin, Hikayat Pelanduk Jenaka, Hikayat Musang Berjanggut dan Hikayat Abu Nawas. Fungsi Cerita Jenaka bukan sahaja sekadar hiburan malah menjadi alat penyampaian ilmu yang biasanya disampaikan oleh tukang cerita yang diperturunkan dari generasi ke generasi. Begitulah salah satu cara orang Melayu dahulu kala menyampaikan sesuati ilmu atau pengajaran, iaitu melalui cerita. Sebagai contoh, cerita Pak Kaduk memaparkan pengajaran atau ilmu yang ditinggalkan ialah “Menang Sorak Kampung Tergadai”. Melalui cerita ini, kita dapat melihat bagaimana orang desa yang tidak “berkuasa” tidak mempunyai pilihan apabila berhadapan dengan pihak yang berkuasa sehingga dia terpaksa menyerahkan atau menukarkan “hak”nya  (ayam sabung yang jaguh) dengan “aset” yang tidak berharga milik pihak raja. Cerita ini menggambarkan kebijaksaan rakyat, iaitu orang Melayu mentafsirkan keadaan sosial dan struktur kuasa masyarakat.

Sumber:

Kolaborasi Ilmu (2008) diperoleh pada  Mei 10, 2013 daripada http://ilmu.edublogs.org/karya-karya-agung/