Jumaat, 19 April 2013

ESTETIK DALAM KARYA AGUNG


MAKNA DALAMAN

  • GAYA BAHASA
  • STRUKTUR AYAT
  • BAHASA


GAYA BAHASA

Gaya bahasa terdiri daripada dua perkataan iaitu perkataan ‘gaya’ dan ‘bahasa’.  Secara umumnya, gaya boleh didefinisikan sebagai cara dan ragam.  Sebagai contoh, jika dilihat pada manusia, gaya yang dimaksudkan ialah cara berpakaian, tingkah laku, cara berinteraksi dan pelbagai lagi.  Bahasa pula merupakan satu sistem yang mewakili benda, tindakan, idea dan perasaan.  Gaya bahasa pula membawa maksud cara atau ragam sesuatu bahasa itu diguna pakai terutamanya dalam penulisan karangan.  Hal ini demikian kerana, melalui penulisan, pembaca tidak boleh mengetahui cara atau tindakan penulis ketika menulis sesuatu perkara. Sebenarnya, dalam kesusasteraan terdapat banyak jenis gaya bahasa.  Antaranya ialah gaya bahasa kiasan, sindiran, hiperbola dan peribahasa.  

Kiasan
Sebenarnya, peribahasa, perumpamaan, bidalan dan ungkapan merupakan cabang kepada bahasa kiasan.  Bahasa kiasan ini berfungsi menyindir seseorang secara halus dan bersopan.  Ia terbentuk daripada analogi dan perbandingan yang berlaku antara satu perkara dengan perkara yang lain.  Bahasa kiasan ini sebenarnya telah wujud sejak zaman dahulu lagi.  Buktinya, nenek moyang kita telah mula menggunakan peribahasa, perumpamaan, pepatah malah pantun untuk menyindir terutamanya untuk menyindir golongan pemerintah sekiranya terdapat perkara yang tidak kena dengan pemerintahan tersebut.  Penggunaan kiasan ini menunjukkan adanya rasa hormat dalam kalangan masyarakat terutamanya perasaan hormat golongan rakyat jelata terhadap golongan pemerintah. 

Sindiran
Sindiran merupakan salah satu bentuk bahasa yang termasuk dalam bahasa kiasan.  Ia terdiri daripada tiga jenis iaitu sindiran halus, sindiran tajam dan sindiran kasar.  Bahasa sindiran ini merupakan bahasa yang digunakan adalah bertentangan maksudnya dengan perkara yang diujarkan.   Selain disebut sebagai sindiran halus, ia juga dinamakan sebagai ironi dan ia bukan digunakan untuk mengguris hati, memalukan orang lain, tetapi ia juga bukan bertujuan untuk tidak mengguris atau memalukan pihak lain. 

Peribahasa
Peribahasa merupakan salah satu jenis percakapan yang mengandungi kepandaian akal fikiran yang telah disusun serta indah dan sedap didengar.  Sebenarnya, peribahasa ini telah wujud sejak zaman nenek moyang kita lagi.  Mereka mencipta peribahasa berdasarkan kepada keadaan sekeliling dan pemerhatian mereka terhadap perkara yang berlaku di sekeliling mereka.   Peribahasa ini juga sebenarnya merupakan salah satu bentuk bahasa kiasan yang digunakan dalam kehidupan bermasyarakat. Peribahasa ini mengandungi makna tersirat atau lebih dikenali sebagai makna dua lapis iaitu perkara yang diujarkan adalah tidak sama dengan maksud yang ingin disampaikan.

STRUKTUR AYAT
Karya agung merupakan karya klasik yang telah wujud sejak dahulu lagi.  Oleh hal yang demikian, penuls banyak menggunakan format penulisan klasik.  Terdapat pelbagai format penulisan karya klasik.  Antaranya ialah penggunaan ayat songsang dan penggunaan ayat yang panjang dan berulang-ulang. 

Ayat songsang
Seperti yang kita sedia maklum, susunan ayat biasa ialah didahului dengan subjek dan seterusnya predikat, tetapi, penulisan ayat songsang ialah predikat didahulukan dan diikuti oleh subjek.  Dalam karya klasik sememangnya mengandungi banyak penggunaan ayat songsang.  Perkara ini berlaku disebabkan oleh berlakunya pengaruh bahasa Arab yang terdapat dalam bahasa Melayu klasik. 

Ayat panjang, berulang-ulang dan berbelit-belit
Ayat panjang, berulang-ulang dan berbelit-belit merupakan salah satu ciri bahasa Melayu klasik.  Penggunaan ayat yang meleret-leret juga dapat dilihat dalam karya klasik. 

BAHASA
Penggunaan bahasa yang pelbagai sangat berleluasa dalam bidang penulisan terutamanya penulisan karya klasik.  Hal ini demikian kerana pada zaman dahulu, masyarakat mempelajari pelbagai bidang bahasa dan kemahiran tersebut diaplikasikan dalam penulisan.  Penggunaan bahasa yang pelbagai ini adalah pengaruh daripada masyarakat Arab, Jawa dan Parsi yang datang ke alam Melayu dengan tujuan perdagangan dan menuntut ilmu.  Selain daripada itu, terdapat juga penggunaan bahasa istana terutamanya dalam aspek gelaran.

MAKNA LUARAN
  • NILAI
  • PENGAJARAN
  • PANTUN


NILAI
Jules Henry (1975) mendefinisikan nilai sebagai sesuatu yang dikira baik seperti kasih sayang, baik hati, keseronokan, kejujuran, kesopanan, ketenangan dan kesederhaan. Mengikut Redfield (1953) nilai ialah suatu konsep tersurat atau tersirat bagi individu atau sifat-sifat bagi suatu kelompok yang dikehendaki yang mempengaruhi pemilihan ragam, maksud dan segala tindakan. Nilai murni pula dapat didefinisikan sebagai perlakuan yang baik, peradaban dan tatasusila individu manusia dalam hubungannya sesama manusia, alam dan Tuhan. Wan Mohd Zahid (1988) mentakrifkan nilai murni sebagai tanggapan berkenaan perkara-perkara yang dihajati dan pada masa yang sama juga menjadi criteria atau ukuran. Nilai-nilai murni sesuatu masyarakat biasanya diasaskan kepada agama. Memang menjadi tujuan semua agama untuk membentuk kehidupan penganutnya untuk menjadi baik dan berakhlak mulia.

PENGAJARAN
Pengajaran ialah peringatan, pedoman, perutusan, amanat atau mesej yang ingin disampaikan oleh pengarang dalam karyanya kepada pembaca.

PANTUN
Pantun ialah ragam puisi yang hidup dalam kalangan rakyat dan bersifat kemelayuan. Khasnya pantun mempunyai sajak dan irama, pilihan suku kata dan perkataan. Pantun telah sedia hidup dalam masyarakat Melayu sudah lama sebelum orang-orang Melayu tahu menulis dan membaca. Orang Melayu mencipta pantun untuk melahirkan pelbagai bentuk perasaan dan merupakan satu seni yang indah. Mereka menggunakan pantun untuk berkasih-kasihan, memberi nasihat, suka-suka, berjenaka, menyindir dan untuk menyatakan rasa sedih.

SUMBER:


Tiada ulasan:

Catat Ulasan