Falsafah Membaca Karya Agung
Secara umumnya Karya Agung Melayu ialah karya
yang melambangkan keunggulan daya cipta seniman, penulis dan pemikir bangsa
Melayu dahulu kala dalam menggambarkan idealisme, nilai, pandangan hidup, adat,
budi, kesedaran moral dan visi bangsa dan masyarakatnya melalui bentuk sastera
dan seni yang tinggi nilainya sehingga kesan seni, budaya dan falsafah kekal
sepanjang zaman dalam minda kolektif bangsa Melayu. Tamadun Melayu sepanjang
zaman banyak sekali dibentuk dan diwataki oleh tradisi sastera ini.
Selain itu, Karya Agung Melayu juga bererti
karya agung yang ditulis atau diungkapkan atau dilisankan (pepatah, pantun,
lipur lara, dan lain-lain) dalam bahasa Melayu, tidak mengambil kira kelompok
bangsa atau etnik dalam kawasan Dunia Melayu ini, sama ada orang Melayu di
Semenanjung Tanah Melayu, atau orang Melayu Brunei, atau orang Aceh, orang
Bugis, orang Minangkabau, dan lain-lain yang menghasilkan karya itu. Dari segi
ini, sempadan geografi dan etnik tidak timbul, tidak kira di manakah daerah
asalnya di Dunia Melayu ini, dan mampu mencetuskan dalam bentuk dan gaya yang
luar biasa, unsur-unsur pemikiran, sistem nilai dan kepercayaan, falsafah atau
pandangan hidup bangsa Melayu turun-menurun.
Manakala Karya Agung Dunia Melayu pula,
dimaksudkan kepada karya agung di kawasan Dunia Melayu yang terdapat dalam
bahasa-bahasa serumpun atau bahasa-bahasa Malayo-Polinesia yang lain. Terdapat
banyak karya dalam bahasa-bahasa lain yang diiktiraf dalam bangsa berkenaan
sebagai karya agung, antaranya ialah Nagarakertagama atau Serat Centhini yang
ditulis dalam bahasa Jawa, atau I La Galigo yang ditulis dalam bahasa Bugis.
Karya-karya yang seperti ini jika sesuai dengan takrif Yayasan, boleh diterima
sebagai Karya Agung Dunia Melayu dan bolehlah dimasukkan ke dalam rancangan
Yayasaan untuk dikaji, diperkenalkan dan diterbitkan dalam bahasa Melayu
melalui terjemahan.
ULASAN HIKAYAT ABDULLAH
Hikayat Abdullah merupakan biografi atau penceritaan pengalaman
hidup Munsyi Abdullah atau namanya sebenarnya Abdullah bin Abdul Kadir. Hikayat
ini mengandungi segala hal yang berlaku pada diri Munsyi Abdullah dan
masyarakat selat pada zaman pemerintahan Inggeris dan peralihan kuasa Inggeris
kepada Belanda di Melaka. Hikayat ini merupakan dokumentasi sejarah yang
berlatar belakangkan peristiwa-peristiwa yang berlaku pada abad ke-19 yang
diceritakan mengikut perspektif beliau yang hidup pada zaman tersebut.
Dalam hikayat ini,
Munsyi Abdullah telah mengkritik gaya hidup dan kepercayaan masyarakat yang
berbilang kaum di Melaka pada masa itu yang terdiri daripada empat kapitan,
iaitu Keling, Cina, Nasrani dan Melayu. Masyarakat pada zaman tersebut begitu
taksub dengan kepercayaan tahyul terutama masyarakat Melayu yang begitu
mempercayai penanggal dan polong. Dalam hikayat ini, beberapa kali Munsyi
Abdullah menyatakan kebencian beliau terhadap kepercayaan karut masyarakat
Melayu pada ketika itu. Beliau sangat menekankan aspek ketuhanan dalam
karyanya. Beliau mengkritik kepercayaan orang Melayu yang tidak mempercayai
ilmu falak dan tidak percaya bahawa bumi ini bulat. Beliau mengkritik orang
Melayu yang mempercayai peristiwa gerhana bulan disebabkan bulan dimakan oleh
rauf (ular). Munsyi Abdullah menyeru masyarakat supaya memandang sesuatu secara
rasional dan berpegang kepada kuasa Allah.
Hikayat ini boleh
dikatakan sebagai dokumentasi Abdullah. Munsyi Abdullah telah membawa pembaca
bertemu dengan tokoh-tokoh sejarah seperti Farquhar, Lord Minto dan Crawford.
Hikayat ini telah menceritakan peribadi mereka mengikut pandangan Munsyi
Abdullah yang berdampingan dengan mereka. Tokoh-tokoh ini digambarkan sebagai
baik dan disanjungi oleh beliau.
Dalam penceritaan
ini juga jelas menggambarkan Munsyi Abdullah seorang yang gigih menuntut ilmu.
Munsyi Abdullah berketurunan Arab-India yang berjaya menguasai bahasa Melayu,
bahasa Tamil, Hindustan, Inggeris dan Cina. Penguasaan beberapa bahasa ini
menunjukkkan kegigihan Munsyi Abdullah mempelajari bahasa. Munsyi Abdullah juga
mengkritik sikap masyarakat Melayu yang malas mempelajari bahasa Melayu. Perkara
ini membuktikan betapa Munsyi Abdullah melakukan pelbagai kritikan sosial dalam
hikayatnya.
Hikayat Abdullah
juga membawa perubahan tema, plot dan jalan cerita seperti karya-karya yang
ditulis pada zamannya. Beliau telah menjadikan pengalaman beliau sebagai bahan
penulisan. Perkara ini menjadikan karya beliau bersifat realiti dan tidak
diselitkan dengan cerita-cerita dongeng seperti karya-karya lain yang ditulis
pada zamannya. Beliau menyelitkan pantun, syair dan kiasan untuk menyampaikan
sesuatu pemikirannya. Selain itu, terdapat banyak kosa kata baharu dan
penggunaan teknik dialog dalam karya ini. Boleh dikatakan bahawa hikayat ini
sebagai permulaan karya Melayu moden yang boleh diibaratkan seangkatan ASAS 50
yang lahir seratus tahun selepas kelahiran hikayat ini.
Pemikiran Munsyi
Abdullah juga jauh ke depan dan bersifat revolusioner. Beliau juga dianggap
sebagai tokoh yang menerajui perkembangan sastera moden di Tanah Melayu. Selain
itu, perlu ditelusuri betapa Munsyi Abdullah begitu teruja dan terpegun dengan
orang asing yang menjajah Tanah Melayu pada ketika itu.
Ulasan
Sulalatus al-Salatin dalam Aspek Sintaksis
Penelitian aspek
sintaksis dalam karya Sulalatus al-Salatin ini akan difokuskan kepada
jenis-jenis ayat. Jenis-jenis ayat yang terdapat dalam tatabahasa Melayu ialah
ayat penyata, ayat tanya, ayat perintah dan ayat seruan. Setiap jenis ayat ini
akan diterang satu persatu secara terperinci dengan menyatakan contoh-contoh serta contoh yang terdapat dalam karya
Sulalatus al-Salatin.
Ayat penyata
Ayat penyata ialah ayat yang diucapkan dengan tujuan
untuk membuat sesuatu pernyataan atau memberikan keterangan tentang sesuatu.
(Ahmad Khair Mohd Nor et al., 2012: 272). Sebagai contoh:
i. Kakak saya guru.
ii. Abang membeli sebuah kereta.
iii. Bunga mawar itu harum.
iv. Adik masih di sekolah.
Berdasarkan karya Sulalatus al-Salatin, terdapat banyak
ayat penyata yang dapat dikenal pasti, ayat-ayat tersebut adalah seperti
berikut:
i. Alkisah maka tersebutlah perkataan ada sebuah negeri di
Benua Keling, Pahili namanya, Nizam al-Muluk Akbar Syah nama rajanya. (1997:
66).
ii. Maka baginda pun beranak du(a) orang laki-laki seorang
perempuan. (1997: 66).
Ayat tanya
Ayat tanya ialah ayat yang digunakan untuk menanyakan
sesuatu hal. Ayat tanya boleh terdiri daripada ayat tanya tanpa kata tanya dan
ayat tanya dengan kata tanya. (Ahmad Khair Mohd Nor et al., 2012: 272). Sebagai
contoh:
Ayat tanya tanpa kata tanya ialah ayat yang terbentuk
dengan mengekalkan bentuk ayat penyata dan dengan memberikan intonasi menaik
pada akhir ayat. Dalam tulisan, nada tanya ini dilambangkan oleh tanda soal (?)
pada akhir ayat. Sebagai contoh:
i. Awak sudah makan?
ii. Ibu Shila seorang guru?
iii. Adik menangis?
Ayat tanya dengan unsur tanya merupakan ayat tanya yang
mempunyai kata tanya, kata ganti nama diri tanya dan frasa sendi nama tanya.
i. Siapa nama anda?
ii. Mengapa dia berlari-lari?
iii.Di manakah rumah ketua kampung?
Karya sulalatus al-Salatin banyak mngandungi ayat tanya
terutama dalam penulisan dialog. Hal ini demikian kerana karya ini banyak
mengemukan peristiwa penting dan penggunaan dialog dilihat sebagai satu bentuk
penulisan yang menarik. Sebagai contoh ayat tanya yang terdapat dalam karya ini
ialah:
i. Maka sembah Demang Lebar Daun, “Janji yang mana itu,
tuanku?” (1997: 24)
ii. ... maka kata Hang Kasturi, “Adakah engkau lagi?”...
(1997: 99)
Contoh-contoh di atas jelas menunjukkan bahawa penulis
menggunakan ayat tanya dengan kata tanya iaitu mana, apa dan adakah.
Manakala ayat tanya tanpa kata tanya yang terdapat dalam
karya ini dapat dilihat seperti berikut:
i. ... “Betapa perinya engkau menebang dia maka bangat amat
suda(h)nya ini, dengan luasnya saujana mata menentang? (1997: 37)
ii. “Maya juga kehendak hati kamu kepada aku supaya kuberi
akan kamu?” (1997: 50)
Ayat
perintah
Ayat perintah ialah ayat yang digunakan untuk menimbulkan
sesuatu tindakan atau gerak balas. Ayat perintah boleh terdiri daripada ayat
suruhan ayat larangan, ayat silaan, ayat permintaan dan ayat ajakan. (Ahmad
Khair Mohd Nor et al., 2012: 272). Contoh-contohnya:
a)
Ayat Suruhan
Ayat ini digunakan untuk
memberikan arahan. Ayat ini mengkehendaki orang kedua melakukan sesuatu. Subjek ayat
terdiri daripada ganti nama diri orang kedua seperti kamu, awak, kau, dan
sebagainya. Walau bagaimanapun, ganti nama diri kedua dalam ayat biasanya
digugurkan. Sebagai contoh:
i. Berdiri di sana!
ii. Siapkan tugasan ini sekarang.
Berdasarkan Sulalatus al-Salatin terdapat banyak ayat
suruhan yang dikemukan dalam karya ini. Hal ini demikian kerana, isi kandungan
karya ini berkisarkan kehidupan raja-raja dan titah-titah raja itu yang dikatakan
sebagai ayat suruhan. Sebagai contoh:
i. Maka titiah Sultan Mansur Syah, “Ambil kerisku ini,
bunuhkan akan Kasturi.” (1997: 99)
ii. ... “Pergi engkau tanya pada Cina itu berapa jauhnya
negeri China dari sini.” (1997: 16)
b)
Ayat Larangan
Ayat larangan
ialah ayat yang digunakan untuk menegah seseorang daripada melakukan sesuatu. Ayat
larangan dibentuk dengan menambahkan kata jangan, usah, atau tak usah di depan
kata kerja. Selain itu partikal –lah boleh diletakkan pada kata larangan bagi
melembutkan larangan. Sebagai contoh ayat larangan ialah:
i. Jangan membuat bising.
ii. Usah ditangisi perkara yang telah lepas.
Contoh ayat larangan yang terdapat dalam karya Sulalatus
al-Salatin seperti:
i. ... “Jangan kita takut, kalau kemala naga besyar itu.”
(1997: 20).
ii. Maka kata hantu itu, “Janganlah {engkau ku}(aku engkau)
bunuh; barang apa kehendakmu kuberi. ... (1997: 36)
c)
Ayat Silaan
Ayat silaan digunakan untuk menjemput atau mempersilakan
seseorang. Ayat silaan ditandai oleh kata silaan seperti sila, sudi, dan jemput
yang kebiasaannya berada di awal ayat. Kata silaan boleh juga menerima partikel
–lah bagi menghaluskan perintah. Sebagai contohnya:
i. Sila beratur.
ii. Jemput makan.
iii. Sudilah jamah makanan ini.
d)
Ayat Ajakan
Ayat ajakan digunakan untuk mengajak seseorang. Ayat ini
menggunakan kata ajakan mari, ayuh dan jom. Kadang kala subjek ayat ini
menggunakan kata ganti nama diri kita. Sebagai contoh:
i. Mari minum.
ii. Ayuh kita bertolak sekarang.
Ayat ajakan yang terdapat dalam karya Sulalatus
al-Salatin ialah:
i. ... marilah engkau naik”. (1997: 99)
ii. Maka kata Uwan Empuk kepada Uwan Malini, “Mari kita lihat
apa yang bernyala{h} cahaya semalam itu.” (1997: 20)
Ayat Seruan
Ayat seruan ialah ayat yang diucapkan untuk melahirkan
perasaan terhadap sesuatu. Ayat seruan biasanya ditandai oleh intonasi seruan
dan dalam tulisan, intonasi seruan diakhiri dengan tanda seru. (Ahmad Khair
Mohd Nor et al., 2012: 273). Selain itu, ayat seruan juga digunakan untuk
menyatakan perasaan yang kuat seperti rasa kagum, marah, sakit atau perasaan
hairan,dan sebagainya. Sebagai contoh:
i. Tahniah, kamu berjaya!
ii. Amboi, cantiknya rumah kamu!
Ayat penyata yang terdapat dalam karya Sulalatus
al-Salatin adalah seperti berikut:
i. Maka kata orang itu, “Cis Mi Duzul! Kita semua
diperdayakan!” (1997: 149).
ii. Maka kata Badang, “Engkau sentiasa makan ikanku, sekali
ini matilah engkau olehku! (1997: 36)
Berdasarkan ayat-ayat yang dikemukan dalam contoh di
atas, jelaslah bahawa karya Sulalatus al-Salatin menepati hukum tatabahasa yang
sebenar. Kepelbagaian jenis ayat yang terdapat dalam karya tersebut menunjukkan
karya ini bukan sahaja karya sejarah biasa, tetapi karya yang sangat menarik
untuk dibaca. Teknik penulisan sejarah ini tidak ditulis secara formal tetapi
ditulis sebagai cereka dalam masyarakat. Plot penceritaan dan teknik dialog
yang digunakan memberi kesan yang sangat mantap dalam penulisan karya ini.
Perkara ini secara tidak langsung memberikan gambaran yang jelas kepada pembaca
tentang peristiwa bersejarah yang berlaku pada masa dahulu.
SUMBER:
Tun Seri Lanang (1997). Sulalatus Salatin ya'ni Perteturan segala Raja-raja (Sejarah Melayu). Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa dan Pustaka.
bendahara Paduka Raja dan Uleebalang Tun Seri Lanang Kesultanan Johor Lama dan Samalang (2012). Diperoleh pada April 20, 2013 daripada http://www.khazanahbendaharaserimaharaja.com/tun-seri-lanang.html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan