Ahad, 28 April 2013

NILAI DAN MAKLUMAT



ADAT PERKAHWINAN MASYARAKAT MELAYU



Prosedur perkahwinan berdasarkan adat perkahwinan masyarakat Melayu adalah seperti di bawah, iaitu:

MERISIK
Dilaksanakan sekiranya seorang lelaki dan keluarganya telah menyukai anak gadis yang dipilih oleh lelaki berkenaan. Adat merisik ini dilaksanakan untuk mengetahui atau merisik berkenaan gadis tersebut sama ada sudah berpunya atau belum. 

MEMINANG
Peminangan ini berlaku sekiranya keluarga bagi kedua-dua belah pihak telah bersetuju ketika dirisik. Meminang ini biasanya dilakukan oleh wakil kedua-dua belah pihak.  Perkara yang diputuskan ketika meminang ini ialah tarikh menghantar tanda, perbincangan berkenaan hantaran belanja, persalinan dan tempoh pertunangan. 

MENGHANTAR TANDA
Menghantar tanda ini juga boleh dikatakan sebagai bertunang. Kebiasaannya, pihak lelaki akan menghantar sebentuk cincin sebagai tanda, di mana cincin tersebut akan disarungkan oleh ibu atau ibu saudara lelaki tersebut. Cincin berkenaan disebutkan sebagai cincin tanda. Selain cincin, sebahagian daripada wang hantaran belanja turut diserahkan ketika ini.  Tarikh perkahwinan juga akan dibincangkan oleh kedua-dua belah pihak ketika ini.

HANTAR BELANJA
Hantar belanja ini akan dilakukan pada  tarikh yang ditetapkan oleh kedua-dua belah pihak. Selain wang belanja, bunga rampai, sirih junjung atau tepak sirih, buah-buahan turut dihantar sebagai hantaran.

MENJEMPUT
Wakil kepada bakal pengantin akan berkunjung ke rumah orang-orang kampong untuk memaklumkan perihal perkahwinan dengan membawa tepak sirih. Ia bertujuan untuk meminta saudara dan sahabat datang ke rumah untuk mengelolakan majlis perkahwinan.

NIKAH
Dilaksanakan sebelum upacara berinai besar yang mana seorang imam akan mewakili wali perempuan untuk menjadi jurunikah.  Dalam upacara ini, mas kahwin, hantaran dan beberapa perkara lain disebutkan. Upacara inilah yang mengesahkan mereka sebagai suami isteri.

BERINAI BESAR
Upacara ini berlangsung di mana pasangan pengantin memakai pakaian pengantin dan pengantin lelaki akan diarak ke rumah pengantin perempuan dengan rebana. Upacara ini dimulakan dengan pengantin lelaki duduk atas pelamin terlebih dahulu dan diikuti pengantin perempuan.

BERSANDING
Jamuan besar-besaran diadakan di rumah pengantin perempuan dan pengantin lelaki yang datang bersama rombongannya akan diarak dengan paluan kompang.  Sekiranya hantaran belum diberikan kepada pihak perempuan, ia akan dibawa ketika bersanding.

JEMPUT MENANTU
Pengantin perempuan akan datang ke rumah pengantin lelaki beberapa hari atau sehari selepas hari persandingan di rumah pengantin perempuan.

ADAT MELENGGANG PERUT



Adat melenggang perut ini juga digelar sebagai Kirim Perut atau Mandi Tian. Adat ini dilaksanakan terhadap wanita yang hamil anak sulung iaitu ketika usia kandungan mencapai tujuh bulan. Ia dilaksanaka bagi menolak bala dan  dilaksanakan sebelum makan tengahari kerana setelah tamat upacara, majlis ini akan diteruskan dengan sedikit jamuan makan.

Peralatan untuk upacara ini:
  • ·         Tujuh helai kain dengan tujuh warna berlainan
  • ·         Segantang beras
  • ·         Sebiji kelapa
  • ·         Beberapa urat benang mentah
  • ·         Damar
  • ·         Minyak kelapa atau minyak urut
  • ·         Lilin
  • ·         Tepak sirih yang lengkap isinya
  • ·         Pengeras sebanyak RM1.25

Pada peringkat awal, bidan akan membaca jampi dan mengandam wanita yang hamil dengan mencalitkan tepung tawar dan menabur beras kunyit. Adat mandi sintuk limau dan air buyung dilaksanakan dengan menyelitkan sebiji telur pada bahagian perut. Kemudian wanita hamil tersebut duduk di atas kerusi yang ditambat seekor ayam.  Air buyung yang disediakan dijiruskan ke badan dan telur tersebut dilepaskan dengan kepercayaan bahawa ia memudahkan wanita tersebut bersalin. Seterusnya, wanita tersebut akan mencermin muka dengan harapan anak akan memiliki rupa paras yang cantik.  Bidan akan membentangkan tujuh helai kain batik dan ibu hamil akan dibaringkan  seterusnya bidan akan mengurut menggunakan minyak urut dan minyak kelapa. Setelah itu, bidan akan mengambil sebiji kelapa dan digulingkan pada perut ibu hamil tersebut sebanyak tujuh kali.  Akhirnya, upacara ini ditutup dengan mengadakan kenduri makan tengah hari.


ILMU JAMPI
Jampi ialah susunan kata yang dipercayai dapat memberikan kesan terhadap perkara yang dihajati seperti berupaya menyembuhkan penyakit dengan menggunakan bahan yang dijampi dan disapukan pada tempat yang sakit.
Jampi dalam masyarakat Melayu diwarisi daripada kepercayaan anisme dan Hindu, lalu dimasukkan unsur-unsur Islam. Oleh itu, jampi dikatakan bercampur aduk dengan istilah-istilah Islam dengan perkataan-perkataan yang sukar difahami maksudnya, tambahan pula tujuannya menyimpang daripada kebaikan bahkan lebih kepada keseronokan diri. Jampi ini dikatakan sebagai menyimpang daripada kebaikan kerana di dalam jampi terdapat unsur-unsur syirik dan pemujaan kepada jin dan syaitan untuk mendapatkan pertolongan seperti mentera pakaian diri, mentera pengasih, mentera pendinding, mentera kecantikan dan sebagainya. Keberkesanan mantera jampi yang digunakan berdasarkan hubungan antara makhluk dengan makhluk

Jenis Jampi
a)      Jampi pakaian diri
  •  menjadikan diri kuat dan kebal, manis dipandang dan dikasihi orang.
b)      Pembantu dalam pekerjaan
c)      Perubatan dan perbomohan
  •  Digunakan oleh bomoh, pawang atau dukun untuk menyembuhkan serta mendatangkan penyakit.
d)      Kegunaan dalam upacara
  • Dikaitan dengan upacara istiadat seperti perkahwinan, pertabalan raja dan sebagainya.
ILMU PENGASIH
Diamalkan oleh masyarakat Melayu untuk menjadikan pemakai disayangi dan dikasihi orang lain. Ia biasanya digunakan oleh individu yang ingin mencari pasangan atau memperoleh seseorang yang dihajatinya.  



SUMBER:




Tiada ulasan:

Catat Ulasan